Nurul Atika Moktar

Daisypath Happy Birthday tickers

Monday, March 7, 2011

Shisha.. apa tu?



Menurut satu catatan sejarah, alat shisha ini telah dicipta di
India oleh seorang doktor sebagai satu cara atau alternatif yang
dapat mengurangkan bahaya menghisap tembakau. Menurut doktor
tersebut, asap tembakau yang disedut itu perlu ditapis terlebih
dahulu melalui satu bekas air agar ia tidak mendatangkan bahaya
kepada penggunanya.
Apakah Sebenarnya Shisha Itu?
Shisha (Waterpipe) adalah sejenis alat yang digunakan untuk
menghisap tembakau dan bahan-bahan lain seumpamanya. Ia
digunakan oleh puak asli di Afrika dan Asia lebih kurang empat
kurun yang lalu. Secara umumnya alat shisha terdiri daripada
beberapa bahagian utama iaitu:

(i) Bahagian kepala (head), yang merupakan sebiji mangkuk
(yang diperbuat dari tanah liat) untuk meletakkan tembakau
dan arang
.

(ii) Bahagian badan atau tengah (body), merupakan penghubung
antara bahagian kepala dan bahagian bawah dan kebiasaannya
ia diperbuat daripada bahan logam ataupun kayu.

(iii) Bahagian bawah yang merupakan sebiji mangkuk air (water
bowl/water chamber)
. Biasanya ia diisikan dengan air tetapi
kadang kala ia juga boleh diisikan dengan susu, jus buah-buahan
ataupun wain. Bekas air ini selalunya diperbuat
daripada kaca.

(iv) Hos dan alat penyedut (mouthpiece) yang digunakan untuk
menyedut asap keluar daripada alat shisha tersebut.

Namun begitu terdapat juga beberapa perbezaan dalam reka bentuk
shisha ini mengikut tempat serta adat penduduk yang
menggunakannya. Sebagai contoh, ada yang mempunyai hos dan
alat penyedut yang lebih dari satu dan boleh dikongsi berdua atau
lebih dan juga perbezaan pada bentuk dan saiz bahagian kepala
atau bekas airnya.

Bahkan nama bagi shisha ini juga berbeza mengikut tempat atau
negeri. Misalnya di negeri-negeri di kawasan Mediterranean Timur
(Turki, Syria dan lain-lain) ia dikenali dengan nama narghile, di
Mesir dan di sesetengah negeri Afrika Utara pula ia dikenali
sebagai shisha atau goza dan di India ia dipanggil hookah. Dalam
Bahasa Inggeris ianya dipanggil waterpipes tetapi nama shisha
lebih dikenali dan sering digunakan.
Cara Menggunakan Shisha
Cara menggunakannya ialah dengan membakar tembakau shisha
itu dengan meletakkan bahan pembakar seperti arang (sama ada
arang kayu atau arang campuran) kerana tembakau shisha ini tidak
dapat terbakar dengan sendirinya secara berterusan. Kemudian
asap tembakau itu disedut dengan menggunakan hos atau alat
penyedut.
Tetapi perlu diingat bahawa apabila pengguna menyedut asap
daripada alat shisha ini, dia bukan sahaja menyedut asap daripada
tembakau tetapi juga asap daripada arang, yang masing-masing
mengandungi bahan kimia dan toksik yang terhasil dari
pembakaran tersebut.

Kesan Shisha Menurut Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO)
Menurut satu dokumen yang bertajuk “Tobacco: Deadly In Any
Form or Disguise”
yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Hari Tanpa Tembakau
Sedunia 2006, bahawa tembakau walau dalam bentuk apa pun
tetap boleh mendatangkan bahaya dan mudharat kepada
penggunanya, termasuklah shisha.
Ini kerana satu sesi penggunaan shisha (lebih kurang 20-80 minit)
akan mendedahkan penggunanya kepada asap yang lebih banyak
dalam masa yang lebih lama berbanding daripada sebatang rokok
(lebih kurang 5-7 minit), dan asap yang terhasil dari shisha
tersebut mengandungi bermacam-macam bahan toksik yang
diketahui boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung
dan berbagai jenis penyakit yang lain.
Manakala asap daripada shisha (yang terhasil dari pembakaran
tembakau dan arang) mengandungi gas berbahaya seperti karbon
monoksida. Selain itu ia juga mengandungi hidrokarbon (benzene
dan benzo-pyrene) yang dikatakan bahan penyebab kanser tetapi
kadarnya belum dapat dipastikan.

Dari hasil penyelidikan yang dijalankan, penggunaan shisha juga
dikaitkan dengan berbagai penyakit serius seperti penyakit jantung
koronari, atherosclerosis, penyakit sistem pernafasan yang kronik,
kanser mulut, kanser pundi kencing dan juga saluran darah
tersumbat (clogged arteries).

Selain itu penggunaan shisha juga dikaitkan dengan beberapa jenis
penyakit berjangkit seperti turberculosis (tibi), hepatitis, herpes,
jangkitan virus di bahagian pernafasan dan bahkan juga HIV.

Walaupun kajian mengenai shisha ini belum dilakukan secara
intensif sebagaimana yang dilakukan terhadap rokok, namun kajian
awal telah menunjukkan bahawa shisha itu boleh membawa risiko
dan bahaya yang sama yang disebabkan oleh rokok. Ini adalah
berdasarkan kesimpulan yang telah dibuat pihak WHO dan
disokong oleh data saintifik, telah menyatakan: Menggunakan
shisha untuk menghisap tembakau boleh menyebabkan bahaya
kesihatan yang serius kepada perokok dan juga orang lain yang
terdedah kepada asap tembakau tersebut.

Apa yang jelas menurut hasil kajian dan data yang ada mengatakan
bahawa shisha boleh membawa risiko dan bahaya yang sama
seperti rokok dan ia bukanlah satu alternatif yang selamat bagi
rokok. Hakikatnya, walaupun dalam bentuk dan cara yang berbeza
menghisap shisha adalah menghisap tembakau dan kajian sains
telah membuktikan bahawa tembakau dan pendedahan kepada
asapnya boleh menyebabkan bermacam-macam penyakit, bahkan
boleh membawa maut.

No comments:

Post a Comment